Friday, April 23, 2010

Harris latih media

PASUKAN Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) yang berbaju oren dan MAS bergambar beramai-ramai bersama bekas jurulatih negara, Haris Abdul Rahman (berdiri kiri sekali) sebelum perlawanan persahabatan di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil, kelmarin.


SIARAN AKHBAR
Bekas jurulatih negara ‘latih’ Media

KUALA LUMPUR -- Haris Abdul Rahman yang ditamatkan khidmatnya sesudah Sukan SEA Laos 2009, masih berminat dengan sepak takraw malah sedia memberikan bimbingan sukarela kepada mana-mana pihak termasuk Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris).

Kelmarin, jurulatih juara Piala Raja Thai 1988, Sukan SEA 1991 dan Sukan Asia 1990-94 itu meluangkan masa lebih dua jam memantau perlawanan persahabatan kelab yang dianggotai kakitangan akhbar, majalah dan TV itu dengan petugas Malaysian Airlines (MAS) di Bukit Jalil.

“Saya kini masih menimbangkan tawaran sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sementara itu saya tiada masalah untuk datang menunjuk ajar setakat apa yang saya ada demi sukan sepak takraw termasuk kepada media.

“Anda (media) mempunyai beberapa pemain yang berbakat menurut tahap tertentu tetapi boleh digilap dan dipertingkat dengan teknik latihan yang betul dan berkesan,” katanya selepas perlawanan berformat berpasukan yang berkesudahan MAS menang 3-2 itu.

Keris dibarisi dua kakitangan TV3, Mohd. Harris Hazri Abdul Halim dan Hairi Zulhairi; penulis tamu Bikerz Magazine, Azmi Mansor, Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali (Jabatan Penyiaran) dan Daud Abdullah yang pernah mewakili RTM dalam Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM 1990.

Turut diundang ialah pemain berpengalaman beberapa kejohanan kecil tempatan dengan mewakili kelab dan majikan mereka seperti Mohd. Zubir Muhamad Shari, Basri Sulaiman, Mohd. Nurazhar Amdah dan Mohd. Zaki Othman.

MAS pula diperkuatkan bekas tekong dan ketua pasukan skuad elit Malaysia, Ahmad Farhan Hilmi Mohd. yang baru menyertai syarikat penerbangan nasional itu sejurus selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Haris yang pernah dicalonkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk melatih India selepas temasya di Laos tetapi menolaknya, berkata, “saya masih mengikuti perkembangan skuad elit menerusi media. Bagus pencapaian mereka apabila menang dua gelaran sekarang.”

Skuad elit yang kini dibimbing Iskandar Arshad, menjuarai Kejohanan Kho Noi Satun (9 April lalu) dan Kejohanan Antarabangsa Hoengseong, Isnin lalu sejak dibentuk semula pada pertengahan Februari lalu hasil penilaian menerusi Kejohanan Piala Presiden PSM di Bukit Jalil.

Antara anak buah Haris yang masih bertahan dalam skuad elit sejak 2007 selepas Sukan SEA ialah Norshahruddin Mad Ghani, Mohd. Hafizie Manap, Farhan Adam, Syazwan Husin, Mohamad Fazil Asri dan Syafiq Ab. Rahman.

Sementara itu Keris turut menjadikan aksi kelmarin sebagai persediaan menghadapi kejohanan kecil terbuka seperti di Dusun Tua, Kuala Langat (1 Mei), Terbuka Hari Belia 1Malaysia di Salak Tinggi (8-9 Mei) dan Kluster Sukan Massa Hari Belia Negara (15-16 Mei).

Sebelum ini Keris menimba pengalaman beraksi pada Kejohanan Dunia Piala Malaysia, Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok (pertunjukan dan persahabatan), Libas Keris-PSM, Libas Memori, Piala Yang Dipertua MPSJ, Terbuka UPM, Cabaran Rejam Kuala Selangor dan Libas Kajang selain Piala Presiden PSM, Februari lalu.

Keris turut menguruskan sebuah regu wanita, Media-Rejam yang mencipta kejutan dengan bergelar naib juara kategori wanita Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-47 di Bukit Jalil setelah ditewaskan Angkatan Tentera Malaysia 2-0 pada 22 Mac lalu.

No comments: