Sunday, August 28, 2016

Bitah, baju kurung, abah-abah dan K-Pop

Tahun lalu majalah digital Arena menemu ramah Nur Dhabitah Sabri, dengan membawa kelainan. Kami meminta pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu mengenakan baju kurung untuk segmen Sepetang Bersama...

Tentunya temu bual ini diadakan lama sebelum Bitah mencuri perhatian di Rio de Janeiro...

Lakaran Jason, foto Johanif.









PROFIL NUR DHABITAH SABRI
Tarikh lahir: 12 Julai, 1999
Asal: Kuala Lumpur Keluarga: Anak bongsu daripada empat beradik
Tinggi: 152sm Berat: 45kg
Pencapaian: Pingat emas 3m papan anjal seirama dan gangsa 10m platform seirama Kejohanan Grand Prix Dunia FINA di Kuala Lumpur 2014, gangsa 10m platform seirama Sukan Komanwel Glasgow 2014, ketujuh 3m papan anjal seirama Piala Dunia Shanghai 2014, pingat emas 10m platform seirama Sukan SEA Myanmar 2013, dua pingat emas Piala Terjun Asia Singapura 2013, pingat emas 1m dan 3m papan anjal Kejohanan Akuatik Asia Tenggara 2012, pingat emas 3m papan anjal individu dan seirama Sukan Malaysia (Sukma) Kuantan 2012, pingat emas 1m papan anjal individu Kejohanan MSSM 2009, pingat gangsa 3m papan anjal seirama Sukma Terengganu 2008

Oleh Rizal Hashim

SENARAI pencapaian Nur Dhabitah Sabri cukup panjang sejak kali pertama menerjunkan dirinya ke dalam bidang yang kini melonjakkan namanya sebagai puteri terjun.

Pada usia 10 tahun gadis cilik yang lebih mesra dengan gelaran Bitah ini sudah merasa nikmat kemenangan. Pusat Akuatik Darul Ehsan di Shah Alam menjadi saksi Nur Dhabitah menjulang nama Putrajaya pada 2009.

Namanya tercatat selaku pemenang pingat emas pertama untuk Putrajaya di peringkat kejohanan akuatik Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dengan kejayaan merangkul kemenangan acara 1m papan anjal individu.

Terbukti benar naluri bapanya, Sabri Hashim, seorang guru di Putrajaya, untuk mengalih perhatian anaknya daripada renang kepada acara terjun pada usia lapan tahun selepas mengambil kira susuk tubuhnya.

Kini dengan reputasi sebagai juara Sukma, pemenang pingat emas di peringkat Asia Tenggara dan penyumbang pingat untuk kontinjen negara di Sukan Komanwel, Nur Dhabitah adalah ratu dalam pembikinan.

Anugerah Puteri MSSM Kementerian Pelajaran Malaysia yang diraih baru-baru ini sekadar mengesahkan kedudukan Nur Dhabitah selaku pewaris mutlak posisi Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee sebagai simbol kebanggaan acara terjun negara.

Namun di luar zon kehebatannya, Nur Dhabitah sama seperti gadis remaja lain yang menggemari muzik K-Pop dan sesekali menari mengikut rentaknya.

"Banyak masa saya tertumpu kepada latihan. Pelbagai rutin yang dilalui setiap hari sama ada di kolam atau di gimnasium. Untuk meredakan ketegangan, saya suka mendengar lagu,” kata Nur Dhabitah, pelajar Tingkatan Empat Asia di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Anak bongsu daripada empat beradik ini mempunyai aura positif dan bersifat periang, sesuai dalam menangani status selaku atlet elit.

Didedahkan dengan corak latihan keras di bawah pemantauan Qi Xianhua di Kompleks Akuatik di Cheras sejak usia lapan tahun, Nur Dhabitah muncul kali pertama di khalayak kebangsaan pada usia sembilan tahun di Sukma Terengganu pada 2008.

Hasilnya, pingat gangsa diraih dalam 3m papan anjal seirama di sisi Loh Zhiayi (gadis muka depan Arena edisi ini).

“Dalam terjun pesertanya kena menguasai kemahiran asas seperti berdiri, melompat dan pendaratan seawal boleh. Jika di gim, kami menghabiskan banyak masa bergantung di abah-abah keselamatan, lompat trampolin dan terjun.

“Kami berlatih dua kali sehari, pada pagi dan awal petang,” kata Nur Dhabitah.

Beruntung kerana ditemani abangnya Muhammad Danial yang mewakili negara sebelum mengundur diri gara-gara jangkitan di telinga, Nur Dhabitah menyifatkan keluarganya sebagai pendorong.

Nur Dhabitah sedar tanpa pengorbanan bapanya Sabri dan ibunya, Fazidah Jaafar, penolong pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, yang sentiasa berada di sisinya di saat susah dan senang, tidak mungkin dia mengecap kejayaan sejauh ini.

Ini ditambah kata-kata perangsang kakaknya, Nur Safura dan abangnya, Muhammad Safuan, kedua-duanya bertugas di sebuah institusi pengajian swasta.

“Mak dan Ayah tidak putus-putus beri galakan. Adanya abang dalam disiplin yang sama memudahkan saya memberi tumpuan,” katanya.

Di kala Danial melupakan terus kerjaya sukan, Nur Dhabitah meneruskan perjuangan memburu impian ke Sukan Olimpik.

“Selain buru tempat ke Rio de Janeiro, saya menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan. Saya kena fokus,” katanya yang mendapat 2A pada Sistem Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu.

Tidak kisah sama ada platform atau papan anjal, Nur Dhabitah menyerap segala teknik dan tunjuk ajar Zhang Yukun dan Yang Zhuliang dalam memajukan dirinya.

“Selain pelbagai rutin yang dipelajari, kami didedahkan dengan darjah kesukaran untuk meraih mata.”

Sejauh ini Nur Dhabitah sudah melakar nama selaku peserta paling muda menjuarai acara di peringkat antarabangsa dengan kejayaan di Kejohanan Akuatik Asia Tenggara di Singapura pada 2012 selain mengutip pengalaman bersaing di Grand Prix Dunia FINA, Piala Dunia, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Laluan sudah terbentang untuk Nur Dhabitah menyusuri jejak Pandelela, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012. Semoga sukses, Bitah.


2 comments:

matdin said...

toing!!! toing!!! toing!!! bedebumm!!! masuk dalam kolam.. hehehe...


jom jenguk sini ya.. hehe

BELAJAR BAHASA said...

Baju kurung menunjukan sifat tradisional, sopan dan anggun, salam blogger dari saya di Indonesia